BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS


6 July 2011

Suatu Hari Di Bulan Ramadan



Pada hari pertama di bulan Ramadan yang penuh barakah, seorang anak kecil sedang menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa. Bagi seorang anak kecil yang baru berusia 4 tahun, puasa sungguh meletihkan. Lantas si kecil itu bertanya kepada bapanya yang sedang membaca surat khabar, "Ayah, azan Maghrib pukul berapa?". Si ayah menjawab sambil tersenyum, "Pukul 7.2o, sayang. Sabarlah. Dah tak lama. Adik mesti boleh,". "Lambatnya masa berlalu, ayah. Tadi pukul 3.oo. Sekarang baru pukul 3.o2," kata si kecil itu. "Sebenarnya masa berlalu dengan pantas. Cuma adik yang merasakan masa berlalu dengan lambat," jawab si ayah pula. "Biar adik pusingkan jarum jam. Nanti bolehlah kita sekeluarga berbuka puasa cepat," kata si kecil itu lagi. Dia lantas memanjat meja dan memusingkan jarum jam ke pukul 7.2o. "Ayah, sekarang jam dah menunjukkan pukul 7.2o. Kita dah boleh berbuka puasa," kata si kecil itu sambil tersengih manja. "Tu cuma jam di ruang tamu. Jam di bilik ayah, di bilik akak, di bilik adik dan di dapur belum pukul 7.2o lagi," jawab si ayah sambil tersenyum melihat gelagat anak kecilnya itu. Si kecil itu mencebik. Tapi dia kemudiannya tersenyum dan berlari ke bilik ayahnya. Perkara yang sama dilakukan oleh si kecil itu. Dia menukarkan semua jam yang berada di rumahnya ke pukul 7.2o. Selepas itu, dia segera bersedia di meja makan untuk berbuka puasa. "Ayah, semua jam dalam rumah kita dah pukul 7.2o. Kita dah boleh berbuka puasa kan, ayah?" soal si kecil itu. Sambil tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala, si ayah berkata, "Jam tangan ayah, jam tangan ibu, jam tangan akak, jam tangan adik, jam di rumah-rumah jiran dan jam besar di Dataran Merdeka belum pukul 7.2o lagi, sayang,". Si kecil itu menghampiri ayahnya. Dengan mimik muka yang masam, si kecil itu berkata, "Kalau begitu, biar adik tunggu azan Maghrib dengan ayah,". Lama-kelamaan, si kecil itu terlena kepenatan di atas pangkuan ayahnya. Si ayah pula hanya mampu tersenyum sambil mengusap-usap kepala anak bongsunya itu.