BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS


21 September 2011

'Abid Dan Pencuri

    Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Luqman Hakim, Rasulullah s.a.w menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang terkenal dengan kerja-kerja sehariannya sebagai pencuri. Hampir setiap malam dia mencuri harta benda kepunyaan jiran tetangganya. Jirannya sentiasa menasihati beliau agar meninggalkan pekerjaan yang keji itu.

     Pada suatu malam, ketika dia hendak pergi mencuri tiba-tiba dia bertemu dengan seorang miskin yang sentiasa duduk di dalam mesjid. Dia tidak mengetahui bahawa orang yang bercakap dengan dia itu adalah orang miskin yang sangat soleh dan zuhud terhadap dunia. Maka tanpa segan silu pencuri itu mengajak lelaki miskin itu pergi mencuri bersama-sama dengannya.

     "Hai orang miskin," kata pencuri itu. "Mengapa engkau selalu duduk di dalam mesjid sambil menanti belas kasihan orang lain. Marilah ikut aku nescaya engkau akan memperoleh pekerjaan yang menguntungkan. Kalau engkau bersetuju marilah kita pergi mencuri bersama-sama," ajak pencuri itu.

     "Baiklah" jawab orang miskin itu ringkas.

     "Kalau begitu marilah kita pergi sekarang kerana hari sudah gelap" ajak pencuri it. "Lebih baik kita atur rancangan dahulu" kata pencuri lagi. "Aku masuk ke dalam kedai manakala engkau nampak orang datang segeralah beritahu aku. Ingat, jangan sampai kita tertangkap."

    Setelah mereka merancang dengan teliti maka pencuri itu pun memulakan tugasnya mengikut apa yang telah di rancangkan. Pencuri itu pun masuk kedalam kedai manakala orang miskin yang soleh itu menanti di luar. Setelah agak lama pencuri itu berada di dalam tiba-tiba orang miskin yang soleh itu berteriak, "Hai kawan, cepat keluar, ada orang datang kemari?"

    Mendengar teriakan orang miskin itu pencuri itu kalam-kabut lari keluar untuk menyelamatkan diri bersama-sama dengan kawannya itu. Setelah keadaan agak tenteram, dia pun berkata kepada kawannya itu.

    "Tadi engkau kata ada orang datang, tapi mana orang itu?"

    Maka orang miskin itu menjawab dengan lemah lembut, "Benar kata engkau wahai kawan, tidakkah engkau sedar bahawa Zat Yang Maha Melihat yang sentiasa melihat kita. Walaupun kita tidak melihat-Nya, Dia sentiasa melihat kita. Dia itulah Allah Yang Maha Pemurah yang telah menyediakan rezeki untuk semua hamba-Nya."

    Orang miskin itu terus berkata, "Wahai kawan, engkau telah mengajak aku untuk mencari kekayaan dengan cara mencuri. Sekarang bolehkah engkau membuktikan kepada aku manakah pencuri yang telah menjadi kaya di dunia ini ?"

    Pencuri itu termenung mendengar kata-kata orang miskin itu lantas dia pun menyatakan keinsafannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk itu.

6 July 2011

Suatu Hari Di Bulan Ramadan



Pada hari pertama di bulan Ramadan yang penuh barakah, seorang anak kecil sedang menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa. Bagi seorang anak kecil yang baru berusia 4 tahun, puasa sungguh meletihkan. Lantas si kecil itu bertanya kepada bapanya yang sedang membaca surat khabar, "Ayah, azan Maghrib pukul berapa?". Si ayah menjawab sambil tersenyum, "Pukul 7.2o, sayang. Sabarlah. Dah tak lama. Adik mesti boleh,". "Lambatnya masa berlalu, ayah. Tadi pukul 3.oo. Sekarang baru pukul 3.o2," kata si kecil itu. "Sebenarnya masa berlalu dengan pantas. Cuma adik yang merasakan masa berlalu dengan lambat," jawab si ayah pula. "Biar adik pusingkan jarum jam. Nanti bolehlah kita sekeluarga berbuka puasa cepat," kata si kecil itu lagi. Dia lantas memanjat meja dan memusingkan jarum jam ke pukul 7.2o. "Ayah, sekarang jam dah menunjukkan pukul 7.2o. Kita dah boleh berbuka puasa," kata si kecil itu sambil tersengih manja. "Tu cuma jam di ruang tamu. Jam di bilik ayah, di bilik akak, di bilik adik dan di dapur belum pukul 7.2o lagi," jawab si ayah sambil tersenyum melihat gelagat anak kecilnya itu. Si kecil itu mencebik. Tapi dia kemudiannya tersenyum dan berlari ke bilik ayahnya. Perkara yang sama dilakukan oleh si kecil itu. Dia menukarkan semua jam yang berada di rumahnya ke pukul 7.2o. Selepas itu, dia segera bersedia di meja makan untuk berbuka puasa. "Ayah, semua jam dalam rumah kita dah pukul 7.2o. Kita dah boleh berbuka puasa kan, ayah?" soal si kecil itu. Sambil tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala, si ayah berkata, "Jam tangan ayah, jam tangan ibu, jam tangan akak, jam tangan adik, jam di rumah-rumah jiran dan jam besar di Dataran Merdeka belum pukul 7.2o lagi, sayang,". Si kecil itu menghampiri ayahnya. Dengan mimik muka yang masam, si kecil itu berkata, "Kalau begitu, biar adik tunggu azan Maghrib dengan ayah,". Lama-kelamaan, si kecil itu terlena kepenatan di atas pangkuan ayahnya. Si ayah pula hanya mampu tersenyum sambil mengusap-usap kepala anak bongsunya itu.